Sunday, June 26, 2011

seMaLam...


Pucat!
Itula keadaan wajah ana masa tengok kat cermin lepas balik dari surau semalam.
Takut!
…………………………………………………………….....

Untuk menghabiskan sisa muraja'ah hafalan, ana menyambung bacaan seusai solat isyak. Tak lama lepas tu, hujan turun lebat sangat-sangat.

Lepas sorang, sorang balik. Tinggal ana sorang-sorang. Takpe, memang ana suka balik sorang pun. Errrk..

Sebelah muslimin dah gelap. Bagus!

Jam 9:35. Tiba-tiba seluruh surau gelap. blackout ke?? Guruh. Astaghfirullah. Innalillah. Ana tutup Quran, tutup semua suis lampu & kipas, (dalam tak nampak), terus keluar. 

Hujan lebat sangat-sangat. Ya Allah, macam mana nak balik? Dengan guruhnye lagi. Nak tunggu kat dalam surau, buatnye ada muslimin, eh..tak boleh, tak boleh.

Semua perasaan ada, takut, bimbang. Hati hanya mampu berdoa.

tak ada sape-sape boleh bantu waktu tu. rumate tak ada, handphone tinggal kat bilik.

Redah jela. Kalau ana mati dalam keadaan ni, husnul khotimah ke?

Ya Allah, izinkan ana balik. Kiranya ini pengakhiran hidup ana, redhalah terhadap ana, & jadikan ana redha terhadap takdirMu..
……………………………………………………….............

Saidina Ali r.a. pernah berkata “Sesungguhnya manusia itu tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga dari tidurnya.”

Berbeza dengan orang yang hatinya sentiasa mengingati mati, maka kematian itu bagi mereka ibarat sebuah jambatan untuk menuju kepada suatu pertemuan dengan Allah SWT yang sering disebut dan diingatinya. Sebagaimana kisah Nabi Ibrahim Khalilullah a.s. yang didatangi oleh malaikat maut.

“Apakah kamu hendak mengambil nyawaku?” tanya Nabi Ibrahim kepada Izrael,

“Benar,” jawab malaikat maut.

“Tidakkah engkau tahu bahawa aku adalah Khalilullah (kekasih Allah) yang selalu didampingi dan mendampingi-Nya? Adakah munasabah seorang kekasih hendak mengambil nyawa kekasihnya?”

Dengan kata-kata Nabi Ibrahim a.s. itu maka malaikat maut kembali semula mengadap Allah SWT, lalu Allah perintahkan Izrael supaya menemui Nabi Ibrahim dengan membawa pesanan dari Allah. Malaikat maut pun berkata kepada Nabi Ibrahim:

“Justeru dengan kematian itu, bererti Allah Yang Maha Pengasih telah menjemput kekasih-Nya agar datang menemui-Nya.” Dengan penjelasan malaikat maut itu maka Nabi Ibrahim a.s. amat gembira menghadapi kematian itu.
………………………………………………………………………………………………

Allah berfirman dalam surah An-Nisa ayat 78
أينما تكونوا يدرككم الموت ولو كنتم في بروج مشيدة...الخ  
"Di mana jua kamu berada, maut akan mendatangi kamu walaupun kamu berada di dalam benteng yang tinggi dan kukuh".

Abu Hurairah berkata, bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya “Hendaklah kamu membanyakkan ingat akan perkara yang boleh meleburkan kelazatan hidup,” 
bertanya Abu Hurairah “Apakah yang boleh meleburkan kelazatan hidup itu?”
 jawab Rasulullah “Zikrulmaut” iaitu mengingati akan mati.
 .............................................................................................................................

Nampaknya, tanggungjawab kita belum selesai di dunia ni. Buktinya, ana mahupun antum masih diizinkan berada di hadapan laptop/komputer masing-masing saat ini.. kan.. (^_^)

Mati itu indah…??

Sentiasalah berdoa sebegini..
اللهم اختم علينا بحسن الخاتمة, ولا تختم علينا بسوء الخاتمة.
 “Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan husnul khotimah (kesudahan yang baik) dan janganlah akhirkan hidup kami dengan su'ul khotimah (kesudahan yang buruk)”.
 اللهم هَوِّنّا علينا سكرات الموت
“Ya Allah, permudahkan kepada kami ketika sakaratul maut”.

..di samping perindahkan akhlak.

 * hitung diri *

fi ghurfati m214, 26062011, 0436pm

Friday, June 17, 2011

Wajah cinta Fatimah azZahra…

Kali ni insyaAllah buat tatapan semua, sedikit ingatan refresh balik mengenai ahlul bait; Fatimah azZahra' r.a., yang ana petik dari buku "Kisah Cinta Dalam Al-Quran - mengenal cinta meraih Allah" oleh Misbah Em Majidy. Jom...=D

Rasulullah s.a.w. membacakan wahyu Allah yang diturunkan kepada beliau di hadapan Fatimah : wajah cinta Fatimah azZahra' kepada Tuhannya, dia wujudkan dalam ketawakkalannya yang sempurna kepada Allah. dia digelari al-Batul, kerana kesempurnaan kepasrahannya kepada Allah.

Para ulama sirah bersepakat, bahawa Fatimah lahir di saat ayahnya dalam puncak pembekalan rohani, bagi mempersiapkan diri menerima tugas terbesar di alam ini; iaitu tahap tafakur (perenungan) yang dalam, ibadah yang lama dan tinggal menyendiri di Gua Hira' setiap tahun.

Garis takdir fatimah telah digariskan Allah untuk hidup dan dibesarkan dalam naungan madrasah nubuwwah dan pangkuan Rasulullah s.a.w.,lelaki paling sempurna dan wanita sempurna sepanjang masa. fatimah membesar seiring dengan kebesaran dakwah penyebarab islam, roh beliau seiring dengan roh islam itu sendiri.

wajah cinta Fatimah kepada Allah Azza Wa Jalla...

*      dia wujudkan dalam kehidupan jernih nan suci. merupakan wanita yang berada di puncak kesucian diri dan kejujuran.

*      terlihat pada keluhuran budi dan kelakuan zuhudnya. kerelaan dan ketulusannya menerima takdir Allah atas dirinya.

*      dia buktikan dengan sifat kedermawanan yang tinggi kepada sesama makhluk Allah, kasih pertolongan yang utuh kepada mereka yang menghajatkan bantuan daripadanya, meski dia sendiri patut dibantu.

Fatimah tidak pernah memiliki angan-angan panjang dalam menjalani hidup. Tidak ada kamus angan-angan dalam kehidupannya. Dia hidup realiti, penuh dengan sifat-sifat mulia, qana'ah, tidak tamak dan berasa bersyukur dengan keadaan yang dihadapinya. Dia yakin bahawa ketamakan akan mengacaukan hati dan mengeruhkan jiwa serta memporak-perandakan urusan. 

Dia berpegang pada apa yang didengarnya daripada ayahandanya yang bersabda: "Berbahagialah orang yang memperoleh petunjuk ke dalam Islam dan hidup sederhana serta qana'ah dalam menjalani hidupnya".

Fatimah juga mengabdikan setiap pesanan ayahnya di dalam kalbu: "Wahai umat manusia! Berlakulah dengan baik dalam usaha-usaha kalian. Kerana tidaklah seorang hamba memperoleh sesuatu melainkan apa yang telah ditetapkan baginya". Rasulullah s.a.w selalu mengajarkan kepada Fatimah untuk senantiasa bersabar daripada kepahitan-kepahitan hidup dunia, agar kelak dapat memperoleh kebahagiaan.

Fatimah azZahra' telah melakukan semua itu, demi mewajahkan kecintaan dirinya kepada Allah 'Azza Wa Jalla.

...ingin menjadi seperti dia...

filbait, 17jun2011, 0909pm

Wednesday, June 15, 2011

Niqab itu pilihan Allah buatku -last episode-

Tidaklah aku memakai niqab ini melainkan untuk memuliakan pakaian ummahatul mukminin.

& sebagai usaha untukku jadikan ia sebagai tanda cintaku pada Allah dan RasulNya melebihi cintaku pada makhlukNya.

Tidaklah aku berusaha melebihi kemampuan yang ada pada diriku, yang diberi oleh Allah yang kurindu, yang diajar oleh Rasul yang kukasih.

Aku ingin capai "redha Allah itu pada redhanya kedua ibu bapa".

Sufi,

Kenapa harus merasa sakit mencari cinta yang abadi….yang fitrahnya sudah ada dalam dirimu sejak dulu lagi…
Kerana kau smbong! Kau sudah banyak menzalimi diri sendiri…..
Kau sudah jauh….
Maka,apakah cukup hanya menangisi kejauhan itu?


La'…tidak Sufi..
Kau harus bangun,walau payah,walau derita,…
Bangun..lari Sufi….walau kau harus mula dari bertatih….
Tiada yang mgaibkan…andai seorg 'tua' mahu mula bertatih semula…andai tatihannya itu untuk menggapai cinta Allah….kau akan mulia di pandangan Tuhanmu!


Namun aku malu dengan Tuhanku…
Aku malu kerana aku telah jauh….aku malu kerana aku banyak berdusta,aku memungkiri janjiku…terima kasihku tidak cukup untuk mmbuktikan syukurku padaNya….


Ya…benar Sufi….terima kasih bahkan segala amalmu tidak pernah cukup…
Istighfar! kau sering lupa….siapa Tuhanmu….kau mudah sekali lupa tentang itu….
Apa Dia merajuk atau sombong untuk menerimamu kembali?? Hahh?? apa Dia begitu??
adakah kekuasaan Dia terjejas dengan kesombonganmu?? 


tapi aku juga malu sesama manusia…ingin saja aku berlalu di hadapan mereka seolah-olah aku tidak mengenali mereka….dan, mereka tidak pernah mengenaliku….
Aku malu pada mereka..aku leka dari menunaikan hak mereka yang diamanahkan padaku..
mereka itu keluargaku, sahabatku, saudaraku....


Ahh,Sufi…
Di waktu-waktu begini…kau masih mengharap pandangan manusia??
Kau masih mendamba pujian manusia??
Kau masih membenci celaan manusia??
Andai itu masih menghiasi hatimu…..kau masih jauh…..kau masih belum rela untuk bangun utk bangga dengan islam warisan Nabi Allah itu!


Allah…di mana aku? Di mana imanku??


Mujahadah Sufi…
Hidupmu di dunia ini untuk berjuang….
Kau sudah mengatakan kesanggupanmu. maka jangan skali2 undur. buktikan pada Kekasih Agungmu!

Allah  tidak menjanjikan setiap langkah itu mudah….
Namun Dia menjanjikan yang jauh lebih hebat dari itu…
Dia berjanji untuk sentiasa bersamamu…
Selama mana kau masih menginginkan Dia untuk bersamamu..


Sufi terjaga. 5:05 a.m.

Ya Allah, ana mimpi rupanya. Alhamdulillah.
 
Dia terlena di atas hamparan sejadah. Sejenak dia teringat kembali. Hampir sejam yang lalu dia terlena dalam tangisan, merindui Kekasihnya, takut pada Zat Yang Maha Agung itu. Sufi bangun memperbaharui wudhuk. Tidak ingin dia membiarkan waktu yang masih tersisa sebelum Subuh itu tanpa memadu kasih dengan Cinta hatinya. 
 

Ya Allah...
Tatkala diri terasa goyah,terasa langkah mencariMu lemah,goyah...Engkaulah zat yg Maha layak untuk meminta kekuatan….
Hakikatnya,Kau Maha Tahu ya Allah,hati kerdil ini terlalu lemah,kiranya tanpa kekuatan dariMu…
Berat rasanya,melalui saat-saat sukar seperti ini,tapi ku yakin,ku yakin Ya Allah…Kau sentiasa Ada…Kau Maha Ada…

Perit,sakit..tak mampu ku ertikannya dgn kata-kata…namun Kau Maha Tahu….hanya padaMu diri ini mengadu….
Betapa sedihnya tatkala diri ini menyelak lembaran kalamMu,ingin skali diri ini berbicara dgnMu…tapi, kenapa tiada rasa seindah yang Kau berikan dahulu...Allah, sudah jauhkah aku darimu..
Namun Kau Maha Memberi Rahmat…rahmatMu melebihi kemarahanMu…Kau kembalikan diri ini….

Hati ini tertanya Ya Allah….apa yg ada disebalik semua ini…namun apakah diri ini layak untuk mempersoalkannya? tidak  terniat dihati ini untuk mempersoalkan takdirMu,…jauh sekali meragui apa yg telah Kau kurniakan pdku...

Setelah semuanya terjadi mengikut kehendakMu,maka tiada yg lebih ku pohon…melainkan Kau terus tetapkan hati ini pada jalanMu, melainkan moga redhaMu terus mengiringi diri ini…
Kau yang memberi semuanya padaku
Maka Kau jualah yang berhak mengambilnya dari ku

" Segala kemanisan dan kelazatan dunia mula dicabut perlahan2
Agar manusia beransur-ansur beralih kepada kelazatan rohaniah
Satu persatu kesayangan kita di ambil
Maka usah berpaling daripada Allah!! "
*************************************************
Walau hanya dengan sedikit pengorbanan itu
Walau hanya dengan sedikit perasaan yang terguris tatkala di jalanNya
Semua itu sudah cukup menyakitkan dan menggoyahkan hati seorang yang bergelar hamba
Kerana hamba itu tidak akan pernah punya kekuatan
Selain dari kekuatan yang dikurnia oleh Allah

Namun kerana kasih yang sudah mula bercambah dalam hati,
Maka si hamba sanggup bertahan,
Walau ada tikanya hati si hamba goyah
Hati si hamba tak kuat,
Si hamba masih terus cuba untuk berdiri,
Walau harus mulakan semula,
Mula dari bertatih di usia yang sudah senja.
******************************************************


Dia, Dia yang Maha Agung itu memberi aku peluang merasai berada di daerah itu…
Kini,Dia bakal mengambil kembali apa yang menjadi milikNya yang mutlak….
Maka,aku dengan rela hati…aku menyerahkan semuanya kembali…
demi cintaNya yang abadi……..

Saksikanlah wahai diriku….betapa indah keperitan yang kau rasakan ini..
betapa indah susunan takdirmu ini….

Terasa indahnya tarbiyah Allah. tak dibiarkan hamba ini diulit kesenangan dunia yg sementara. Ditrbiyah, disedarkan dgn ujianNya yg tidak pernah melebihi kemampuan hambaNya itu sendiri.

Sufi teramat rindu padaNya. segala persoalan hidup, dia serahkan padaNya. dari al-Hikam, dia belajar untuk meninggalkan tadbir.
"insyaAllah segalanya akan indah. pabila tugasku selesai di sini, tiada lagi makhluk yang akan menghalangi cintaku untuk menyatu denganMu."
perjuanganmu akan selesai Sufi, bila tiba waktunya...

niqab itu pilihan Allah buatku!...


*cerita ini tidak ada kaitan dengan mana-mana pihak, idea asal merupakan ilham dari Allah dan disebarkan untuk tujuan perkongsian. mudah-mudahan dapat diambil iktibar. Tidak bertujuan untuk memburukkan mana2 hamba Allah, insyaAllah.
SEKIAN =D

filbait, 15062011, 1131pm

Sunday, June 12, 2011

~ asal-usul solat ~

InsyaAllah untuk entry kali ni, sedikit info dari sebuah kitab yang cukup masyhur sejak hampir 2 ratus tahun yang lalu. Dari sudut diri ana sendiri, menatap kitab-kitab karangan ulama ni, InsyaAllah banyak keberkatannya. Apa lagi kalau kita mampu menatap dan memahami tulisan karangan mereka yang asal (bahasa arab @ melayu, dalam jawi @ rumi), dari bayt ayat-ayat mereka sendiri, sudah tentu rasa zauqnya lebih. 

Apa pun, niat menuntut ilmu kerana Allah itu sangat penting, tak kira lah belajar dari buku terjemahan, mahupun dari blog. (^_~) 


(dari kitab MUNYATUL MUSOLLI & ALBAHJATUL MARDHIAH ~ sheikh daud abdullah al-fathoni)

قال المصنف رحمه الله ونفنا الله به وبعلومه وبعلوم سائر الصالحين في الدارين آمين

Sesetengah Hukama' mengatakan : setiap sembahyang itu ditentukan kepada seseorang nabi daripada anbia' Allah menyembahyangkan pada waktunya.

SUBUH

Orang yang mula-mula bersenbahyang Subuh itu ialah Nabi Adam a.s. tatkala keluar daripada syurga. Ketika itu dia melihat kegelapan dan berasa teramat takut. Maka tatkala tiba waktu Subuh dan ternampak fajar, baginda bersembahyang 2 raka'at. 

Raka'at pertama : untuk bersyukur kerana terlepas daripada kegelapan
Raka'at kedua : untuk bersyukur kerana kembalinya siang hari.

ZOHOR

Orang yang mula-mula bersenbahyang Zohor itu ialah Nabi Ibrahim a.s. tatkala Allah menyuruh menyembelih anaknya, yang kemudiannya ditukar kepada menyembelih kibas. Suruhan itu berlaku ketika gelincir matahari (mula masuk waktu zohor). Baginda bersembahyang 4 raka'at.

Raka'at pertama : untuk bersyukur kerana anaknya ditebus dengan kibas
Raka'at kedua : untuk bersyukur kerana terbuang dukacita daripada anaknya
Raka'at ketiga : untuk menuntut keredhaan Allah 
Raka'at keempat : untuk melahirkan perasaan amat gembira kerana mendapat penebus yang amat besar (kibas Habil dari syurga), seperti dalam firman Allah : "dan kami tebuskan dia dengan sembelihan kibas yang amat besar" - asSoffat,107.

ASAR

Orang yang mula-mula bersembahyang Asar itu ialah Nabi Yunus a.s. tatkala Allah mengeluarkannya daripada perut ikan paus dalam keadaan seperti anak burung yang tidak berbulu. Baginda mengalami 4 kegelapan. 

Pertama : kegelapan kesalahannya.
Kedua : kegelapan air
Ketiga : kegelapan malam
Keempat : kegelapan perut ikan

Baginda keluar daripada perut ikan itu pada waktu Asar. Maka baginda bersembahyang 4 raka'at kerana bersyukur kepada Allah yang melepaskannya daripada 4 kegelapan tersebut.

MAGHRIB

Orang yang mula-mula bersembahyang Maghrib itu ialah Nabi Isa a.s. tatkala Allah mengeluarkan dia daripada kepungan kaumnya. Peristiwa itu berlaku sewaktu lenyap matahari.

Raka'at pertama : untuk menafikan ketuhanan yang lain daripada Allah
Raka'at kedua : untuk menafikan tohmahan terhadap ibunya yang dituduh oleh kaumnya
Raka'at ketiga : untuk menyatakan bahawa tiada Tuhan yang dapat memberi kesan melainkan Allah jua

Sebab itulah 2 raka'at pertama berhubung dan raka'at terakhir tinggal bersendirian.

ISYAK

Orang yang mula-mula bersembahyang Isyak itu ialah Nabi Musa a.s. ketika sesat jalan, waktu keluar dari negeri Madyan (suatu daerah dalam negara Jordan berdekatan dengan Sinai dan Laut Merah). Beliau mengalami dukacita tentang isterinya, Harun saudaranya, Firaun seterunya dan beberapa orang anaknya. Semua dukacita itu dilepaskan oleh Allah berpegang kepada janjiNya yang benar. Peristiwa ini berlaku pada waktu Isyak yang akhir. Maka beliau bersembahyang 4 raka'at kerana bersyukur kepada Allah yang melepaskan dirinya daripada semua dukacita itu.

Menurut riwayat yang lain :

SUBUH : dimulai oleh Nabi Adam a.s. 
ZOHOR : oleh Nabi Daud a.s.
ASAR : oleh Nabi Sulaiman a.s. 
MAGHRIB : oleh Nabi Yaakob a.s.
ISYAK : oleh Nabi Yunus a.s.


Hari-hari kita solat kan? Dari kanak-kanak, hinggalah orang dewasa, hatta mereka yang sakit sekalipun, akan menunaikan solat. Situasi yang cukup glamor ; nak solat dengan khusyu' dan sesempurna yang mungkin. Tapi berapa ramai yang dapat nikmat sebegitu? 

Sangat SENANG. dan sangat SUSAH. setuju? (^_^)

Apa pun, sangat penting untuk kita sentiasa mencari hikmah di sebalik pensyariatan solat, ilmu tentangnya, etc, agar dapat 'menyenangkan' kita untuk khusyu'. Dan ianya merupakan proses yang memerlukan usaha yang berterusan.

Daan.. nikmat sebegitu hakikatnya tetap merupakan suatu anugerah dari Allah. Jadi, amat perlulah kita untuk meminta pada Dia, kan...  

..::..sOlaT itU iNDah..::..

  filbait, 1136pm, 12062011
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath Happy Birthday tickers