Tuesday, August 5, 2014

hidup cinta


.............................................................................................................................
 
Sejuk memandang kekurangan.
Bisa merasa Dia amat dekat,
teliti hingga sudah memberi yang cukup.

.............................................................................................................................

Siapa yang paling cinta, dialah yang paling banyak memberi dan memaafkan.

hamba meminta dengan keterbatasannya, Allah memberi dengan kesempurnaanNya!
(genta-rasa)   

..............................................................................................................................

Sunyi.
Terasa sunyi kerana sendiri dicipta sunyi itu.
Rasa ramai bila menerima selain sunyi.

Lain itu tidak sewajibnya sama.
Yang dulu diambil, diganti yang lain.

Tidak sunyi bila kamu ada Dia yang segalanya.

Tidak logik air disamakan dengan nasi.
Namun hati yang cukup, air setitik dirasa nasi sepinggan!

Segalanya berbalik pada iman diri.
Kamu mahu, kamu usaha.

Rezeki.
Bertubi disoal bila rezeki kunjung tiba.
Sempurnanya gelar hamba bila rezekinya diputar tuan sendiri.

Kamu memilih-milih.
Tanya kembali, apa rezeki itu bisa dipilih-pilih?
Senyum sendiri-sendiri.

Maaf.
Bukan mahu mengecewakan.
Sendiri juga terasa kelat.
Buruk apapun,
itulah yang harus tegar diplih.

Tak seluruhnya perlu ada jawab.
Kadang tidak dijawab itu lebih puas.
Nikmat.

Pinjam.
Yang diberi pinjam,
sudah banyak diambil Dia kembali.

Fikir hamba,
sudah berakhir.
Tiba tika bersenang bersama Rabb di sana.

Lagi,  
DiberiNya berbagai-bagai.

hidup dunia perlu terus lagi.
Dengan pinjaman baru ini,

Untuk diuji lagi dan lagi.
Buat bekal.

Hingga bertemu Dia itu bukan lagi janji,

namun realiti!


1221pm. 060814. skbp.

Sunday, April 6, 2014

Mahu pada Tarim.

اللهم صلى على محمد

********************************************************

Aduh hati sudah rindu.
Belum sampai lagi dah rindu?
MasyaAllah, bikin penasaran nih!

Teringin pada Tarim.
Kehidupan ahlinya penuh dengan kelembutan dan ilmu.

Fitrah jiwa mahu yang sederhana.
Sederhana yang tenang.

Yang di sini?

Beginilah manusia,
Yang jauh dicari dirindu,
Yang dekat diabai dijenuh.
Moga kita kuat untuk sentiasa bersyukur dan menghargai.

Tidak pandai berangan-angan lebih.
Namun tidak salah kan untuk berharap?
Berharap, jadinya sebagai doa.

Oh Tarim.

*********************************************************

Beberapa hari ini rindu benar menelaah bersama guru.
Gara-gara terlihat sekeping gambar.
Duhai, hamba ini masih persis anak kecil.
Masih mahu dituntun lagi dan lagi.


Kenal nafsu. Kenal diri. 

والنفس كالطفل إن تهمله شب على # حب الرضاع وإن تفطمه ينفطم
Dan nafsu itu seperti kanak-kanak jikalau engkau biarkan ia akan terus menyusu sampai ke tua # suka menyusu tetapi jika engkau berhentikan, ia akan berhenti

فاصرف هواها وحاذر أن توليه # إن الهوى ما تولى يصم او يصم
Maka kendalikanlah hawa nafsumu dan jangan diberikan kesempatan kepadanya untuk menguasai engkau # kerana jika ia berkuasa sudah pasti ia akan membuta dan menulikanmu

وراعها وهي في الأعمال سائمة # وإن هي استحلت المرعى فلا تسم
Jagalah nafsumu baik-baik walaupun ia telah berlegar dalam ruang ketaatan # kerana bila ia sudah menguasai suasana ia akan memesongkan tujuan ketaatan. Maka jangan engkau lengah dari menguasainya


Cuti baru-baru ini. Alhamdulillah. Perkembangan positif. Suka hati. Agaknya inilah secebis rasa bahagia ma masa tengok anak-anak boleh jalan dulu ^_^




<<< 523pm. 6.4.14. bentong. >>>

Saturday, February 22, 2014

HIKMAH, HIKMAH & HIKMAH.


Lama dipandang sepi ruang ini. Hati terus tenang dengan kasih Allah, cinta dari Rasul. Alhamdulillah akhirnya diizini jua. Diupdate jua dengan izin Allah. ^__^ 


*******************************************************************
   
Ma..
 
Dulu mahupun sekarang, itulah ma, ibu yang telah melahir dan menjaga insan kerdil ini bersama 5 adik beradik yang lain.

Dengan berjuta hikmah, kehidupan kami sekeluarga berubah sejak ma diserang angin ahmar, hampir 4bulan yang lalu. 

Setiap dari kami, dari ayah, abang, kakak sehinggalah ana, masing-masing merasai ‘kehilangan’ ma.
Jasad ma masih wujud di hadapan kami. Namun perasaan kami tidak seperti dulu.

10 tahun lalu. 

Ya. 10 tahun yang lalu, kami hampir kehilangan ma. Ma kemalangan saat pulang dari solat tarawih. Takdirnya ma memandu sendirian. Ayah yang memandu kereta lain di belakang tidak jauh dari kereta ma, usai sampai di tempat kejadian dikhabarkan isterinya itu sudah ‘tiada’.

Beberapa tahun ma mengambil masa untuk pulih, dan saat itulah Allah mengajar ana meniti alam remaja dengan kasih seorang ibu yang masih dalam rawatan pulih dari kecederaan. Berdikari, namun masih penuh dengan curahan kasih sayang dari ma dan ayah. Rentetan kemalangan itu, ma mengambil keputusan untuk bersara awal.

Mungkin 10 tahun yang lalu, keadaaan ma terlantar sakit tidak menjadi suatu kesusahan hati bagi anak bongsu yang baru berusia 12 tahun saat itu. Melihat ma yang masih boleh senyum, walau terlantar tidak mampu bergerak, itu sudah menjadi kelegaan bagi diri ana yang seusia itu.

Namun di usia 23 tahun. Melihat insan yang paling dicintai selepas Allah dan Rasul, yang perilakunya adakala keanak-anakan sejak diserang angin ahmar, Allah…ana mengaku hati kecil ini tidak setiap saat tabah.


Pembedahan.

Hari tersebut ana meninggalkan sekolah jam 9 pagi, meninggalkan tugas sebagai mc sebuah program di sekolah. Memandu sendirian pulang ke Kelantan, air mata tak henti-henti mengalir. Tidak betah menutup bacaan alQuran yang dipasang sepanjang perjalanan, bimbang hati dan fikiran menerawang jauh. Setiap kali hati berfikir yang bukan-bukan, kalimah Allah membawa ana sedar ke fatrah redha dan tawakal. 

Allah..Allah..segalanya Allah....

Seminggu selepas pembedahan membuang tempurung kepala, adalah saat yang paling menguji hati. Ana pulang hampir setiap hujung minggu, saat itu masih berpraktikum di SK Berchang. Ma tidak mahu bercakap, tidak mahu makan dan tidak mengenali sesiapa. Saat dibacakan ruqyah bila ma berlaku agresif, ma memanggil ana ‘ustaz’. Hati akur bahawa itu bukan ma. Akur bahawa ana perlu bertanggungjawab.

Ikhlas.

Enti jangan menyesal belajar ilmu ni…ikhlas…

Itu ungkapan ayahanda Ustaz Borhan. Guru merangkap ayahanda angkat yang dengan izin Allah membawa ana sedikit sebanyak kenal dunia perubatan islam.

Ana tidak menyesal, insyaAllah. Allah menguji, DIA tahu sejauh mana perasaan ana.

Pernah terdetik, untuk menamatkan pengajian di IPG. Tidak sanggup menahan perasaan, setiap kali teringat ma, satu kerja pun tak mampu disiapkan.

Digagahi jua. Alhamdulillah, pengajian semester lepas berjaya ditamatkan, hadiah keputusan peperiksaan akhir yang ma harapkan dalam nada gurauannya setiap kali ana minta ma doakan, yang ana fikir agak mustahil dicapai, akhirnya Allah beri rezeki. Alhamdulillah. walau ma seperti tidak terlalu faham bila dikhabarkan result tersebut.

Banyak yang Allah ajar. Erti kehidupan. Erti hamba. Siapa Allah. Siapa Rasulullah saw.

Masih belajar ikhlas. Dan terus belajar…


Tabir yang disingkap.


Ana melihat sekujur tubuh yang benar taat pada Allah. Ma sangat-sangat sedih kerana 16 juzuk alQuran yang ma hafaz beberapa tahun lalu hampir kesemuanya hilang. Ma mula menghafaz alQuran dalam usia 50-an selepas bersara. Ma menangis bila ma tidak mampu mengingat tahiyat akhir untuk solat. Namun ma redha. Semuanya hak Allah. Kalimat pengakuan sebagai hamba sering meniti di bibir ma. Walau taklifan solat telah gugur dari ma, ma masih tahajud. 

لا حول ولا قوة إلا بالله

Ana melihat kasihnya seorang suami, setia hingga ke akhir. Seorang hamba yang taat, suami yang sangat baik; ayah yang setia menjaga, melindungi dan mengasihi ma. Sehinggakan tempat ayah tidak mampu kami 6 beradik ganti di hati ma. Sungguh Allah telah memuliakan ayah. Moga Allah mengasihi ayah. Melengkapkan seluruh kehidupan ayah dengan kebahagian janji Allah yang benar.

Ana melihat kasih anak-anak pada ma. Perasaan sayu dan cinta yang tidak mampu kami anak-anak ungkap dengan kata. Melihat wajah ma, sangat susah untuk menahan air mata. Syukur Allah memberi ruang untuk kami berkhidmat, walau tidak seberapa.

Ana melihat kasih dan hormat abang dan kakak ipar terhadap ma. Syukur Alhamdulillah Allah memperlihatkan bahawa mereka menyayangi ma seperti ibu kandung sendiri.

Ana merasai perasaan yang tidak mampu diungkap. Mengingati ma saat berada di kejauhan, Allah, itu perasaan yang cukup sukar. Tidak mampu ditafsir mengapa setiap kali ingat pada ma, setiap kali itulah air mata tidak mampu ditahan. Siapa sahaja yang menyebut perkata ‘ibu’, pasti akan mengundang perasaan yang cukup berat di hati.

U 'left' so soon..


Sangat terasa lainnya, kalau dahulu bila ingin melangkah keluar, pasti akan dimaklumkan pada ma. Sangat-sangat terasa kehilangan. 

Namun kami tidak pernah kehilangan doa ma. Menemani ma solat, saat itulah baru ana berpeluang mendengar bait doa yang ma pohon. Sayu. Ma sentiasa sebut kami dalam doa ma!

Mulianya seorang ibu.
Tidak lain dan tidak bukan, Allahlah yang mencampakkan rasa itu di dalam hati. DIAlah yang memuliakan ibu.

*******************************************************************

Ya Allah..
Walaupun dia begitu…
Di saat dia tidak mampu menafsirkan katanya sendiri,
Dia tidak pernah mementingkan diri.

Masih segar di ingatan..
Walau dia yang diuji sakit,
Dia masih bertanyakan bagaimana makan si suami
Dia masih bimbangkan si anak.

Ya Allah sembuhkan dia.
Peluklah dia erat dengan hangatan kelembutan kasih sayangMu!

ALHAMDULILLAH,
segalanya penuh hikmah! (",)
  

*******************************************************************


17jan14. M219. 6.07pm.
posted : 22feb14. bentong. 7.34pm.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath Happy Birthday tickers