Monday, April 18, 2011

Dakwah dan Fiqh Awlawiyat



editor : http://assyaheedah.blogspot.com 


Mafhum Fiqh Awlawiyat

Fiqh Awlawiyat atau fiqh keutamaan (prioritas) adalah dua perkataan yang diambil dari ‘fiqh’ dan ‘awlawiyat’.

Fiqh bermaksud ‘faham’. Fiqh disini bukan bermaksud pengertian fiqh disegi istilah para ahli fekah tetapi ialah satu kefahaman yang dikurniakan allah sebagai satu syarat untuk mencapai tahap kesempurnaan kebaikan dan petunjuk sesuai dengan hadis nabi s.a.w : “ sesiapa yang dikehendaki allah kebaikan ke atasnya, maka diberinya kefahaman terhadap ad-deen (agama)”.

Awlawiyat pula adalah kata jamak dari ‘awla’ iaitu yang paling baik, paling sesuai, paling utama seperti yang disebut di dalam kamus-kamus bahasa ( Mukhtar as-Sihah). Maka pengertian fiqh awlawiyat ialah memahami apa yang paling utama daripada beberapa perkara dari sudut pelaksanaan. Ini bermakna memberikan hak keutamaan didahulukan pada perkara yang mesti  didahulukan daripada perkara yang lain yang utama dikemudiankan, sesuai dengan masa dan waktu perlaksanaannya.

Di dalam istilah fiqh atau ilmu usul ia disebut sebagai ‘khilaf awla’ yang bermaksud sekalipun berlaku khilaf (perselisihan)di dalam masalah atau hukum tersebut tetapi ia paling sesuai untuk dilaksanakan. Al-Fadhil Dr. Yusuf al-Qardawi memberikan takrif Fiqh Awlawiyat sebagai menetapkan sesuatu pada martabatnya,tidak mengkemudiankan apa yang perlu didahulukan atau mendahulukan apa yang berhak dikemudiankan, tidak mengecilkan perkara yang besar atau membesarkan perkara yang kecil”.

Kesan Pengabaian Fiqh Awlawiyat
  1. Realiti  masakini seperti pembunuhan dan serangan terhadap terhadap umat islam, gejala Islam liberal, ancaman murtad , pertikaian artikel 3(1)dan sebagainya maka yang paling utama ialah membina kesatuan front dari berselisih di dalam masalah ijtihad yang bersifat dhanni. Begitu juga berusaha memelihara penampilan islam dari memelihara penampilan tanzim (organisasi). Bukan sibuk menonjolkan pendapat siapa yang paling benar, ijtihad siapa yang paling betul yang mengakibatkan kesatuan umat terabai dan terbengkalai dan memudahkan para musuh merobek-robek kekuatan saf ummah. Keutamaan sekarang ialah menzahirkan kekuatan sof umat dan menyatukan suara umat menjadi satu suara yang kuat, digeruni, berwibawa dan mampu menggugah kekuatan musuh-musuh Islam.
  2. Tidak mengambil peduli terhadap perkara ini akan membawa penzahiran kekuatan musuh islam terhadap umat islam, memecahbelahkan perpaduan umat islam bahkan membawa kepada pertumpahan darah sesama islam, perkelahian, sikap taksub membuta tuli kepada kumpulan masing-masing.
  3. Dari sudut yang lain sepatutnya ‘wala’ hanya kepada Allah, rasul dan orang-orang yang beriman, tetapi telah bertukar ‘wala’ solid’ kepada tanzim dan menganggap mereka yang diluar tanzim bukan dari kalangan ahli wala. Ini akan memecah kesatuan umat islam dan akan membawa kegagalan, kekalahan dan kerugian. “ wa la tanaza’uu fatafsyalu watazhaba reehukum’  ( janganlah kamu berselisih maka kamu akan memperolehi kegagalan dan hilang segala kekuatan..).
  4. Begitu juga dalam masalah akidah. Sepatutnya mengutamakan usul (pokok) dari masalah furu’ (cabang). Ini sebagai menjaga sebab berlaku khilaf yang membawa kepada fenomena takfir (mengkafirkan), menyesatkan orang dan kumpulan lain atau memporak perandakan kesatuan umat Islam.Akidah Islam tegak atas prinsip ‘Syahadatain’. Selama mana ia bersyahadah, maka dia diiktiraf sebagai  muslim dan perselisihan tidak merosakkan kasih sayang sesama muslim.

Bidang Awlawiyat

1. Bidang Ilmu
Penguasaan dalam pelbagai cabang ilmu merupakan satu fardhu kifayah. Antara yang dituntut di dalam fiqh keutamaan ialah :

-Memahami keperluan semasa umat kemudian melahirkan pakar-pakar di dalam pelbagai bidang ilmu. Antara bidang-bidang strategik yang diperlukan umat ialah bidang ekonomi, perubatan, ketenteraan, pembuatan polisi, teknologi, ict, kejuruteraan genetik, aeronatik, disamping menguasai bidang syarak.

-Contohnya meramaikan doktor pakar sakit puan dari kalangan wanita islam bagi memenuhi kadar peranakan yang tinggi wanita Islam. Statistik menunjukkan bilangan doktor sakit puan muslimah masih berkurangan dengan nisbah keperluan tersebut.

-Setiap era menuntut penguasaan luas dalam beberapa disiplin ilmu yang tidak diperlukan pada era sebelumnya. Contohnya pada satu masa perlu menguasai ilmu logik dan falsafah bagi menghadapi aliran falsafah Yunani dan Greek. Begitu juga , ada zaman yang menuntut kepada memahami disiplin ilmu khilaf bagi menangani kejumudan pemikiran dan sebagainya lagi.

2.Bidang Hisbah
Inilah sikap terpuji ,penuh hikmah dan memahami fiqh awlawiyat seperti yang dilakukan oleh Syeikh Islam Ibnu Taimiyyah kepada anak-anak muridnya yang ingin menghalang tentera Tartar dari meminum arak. Beliau menggesa agar dibiarkan mereka minum arak supaya ia tidak membunuh nyawa umat islam yang lain. Kaedah menyatakan “yunkiru ‘ala muttafaq ‘alaihi wa la yunkiru al mukhtalaf fihi..”. Ini bertujuan tidak menimbulkan kemudaratan yang lebih besar.

3. Bidang Tasyri’
Nabi Yusuf a.s memohon diberi tanggungjawab memimpin jabatan kewangan negara agar tidak berlaku penyelewengan, salah urus tadbir , korupsi di dalam pengurusan kewangan negara.

4. Bidang dakwah
Nabi s.a.w menjauhi dari meruntuhkan berhala-berhala disekeliling Kaabah sekalipun beliau berkemampuan melakukannya. Begitu juga larangan nabi s.a.w kepada para sahabat r.a dari memerangi kaum Musyrikin walaupun baginda dan para sahabat r.a mampu. Kaedah mengatakan : “manista’jala qabla awanihi ‘uqiba bihirmanihi” (barangsiapa tergesa-gesa mencapai sesuatu sebelum masanya, maka ia dihukum haram mendapatkannya).

5. Bidang tarbiyah
Antara firman allah kepada doa Nabi Ibrahim a.s, dan allah membetulkan urutan keutamaan di dalam proses tarbiyah ( lihat surah al-Baqarah : 151). Begitu di dalam surah al-Jumuah ayat 2 di mana proses tarbiyah itu menurut urutannya yang sebenar  ialah tilawah-tazkiyyah-taklim. Kecacatan dalam menentukan urutan keutamaan tersebut boleh membawa kepada kegagalan di dalam proses tarbiyah dan manhaj tarbiyah.

 Awlawiyat “membina agenda masyruk (projek) Islam” di dalam Manhaj al-Bana
Membina dan menyediakan satu projek Islam yang merangkumi keperluan umat, membina kesatuan umat, memperkasa identiti umat adalah prioriti utama di dalam manhaj dakwah dan tarbiyah Imam Hasan al-Bana. Projek Islami dapat memenuhi maslahah ummah jika dibandingkan penumpuan kepada organisasi semata-mata tanpa ada agenda untuk umat.

Al-Bana mengasaskan projek agenda membina peradaban umat (masruk li nahdatil ummah) dan menjadikan organisasi wahana  untuk mencapai agenda tersebut . Sikap inilah yang menyebabkan Imam Hasan al-Bana dikagumi wawasan pemikirannya oleh para tokoh-tokoh politik dan pemimpin pelbagai pertubuhan. Ada yang datang untuk berbaiah dan tertarik untuk bersama dengan gerakan Ikhwan.Beliau menyeru mereka agar MENGUTAMAKAN MASLAHAH TERBESAR UMAT, BERAMAL UNTUK ISLAM MELALUI AGENDA PROJEK ISLAM.

Bukti yang jelas ialah pendirian beliau mendekati Ustaz hasan al-Hudhaibi dan mempelawanya memimpin Ikhwan Muslimin sebagai Mursyid al- Am walaupun beliau tidak melalui urutan tarbiyah organisasi secara sempurna. ( halaqah-usrah-jenjang keanggotaan-katibah-pengurusan  dll – hanya melalui hubungan fardi).

Awlawiyat adabiyat syari’yyah mendahului adabiyat tanzimiyyah

Perkara yang penting dan sewajarnya diberi perhatian dan penelitian ialah kembali meletakkan keutamaan adabiyat syarak dari adabiyat tanzim(organisasi).Ketidak seimbangan ini akan membawa kecacatan pada tanzim dan akan meletakkan setiap perkara berprioritaskan organisasi dari tuntutan syarak. Ini akan membawa kecelakaan dalam amal Islami.

Sebagai contoh, kadang-kadang organisasi berlembut atau memandang remeh pada anggotanya dalam perkara yang bercanggah dengan syariat ( budaya adu domba, fitnah, dusta, mengumpat, sumber rezeki yang bukan masyruk, riak,penipuan..). Pada ketika yang sama organisasi berkeras dalam hal yang berkaitan dengan  tanzim yang kadang-kadang bertentangan dengan hukum syarak. Sepatutnya adabiyat tanzim (tatsusila organisasi) adalah untuk khidmat kepada adabiyat syarak dan bukan sebaliknya.

Semoga dalam pengoperasian dakwah, kita mengukur dan mengutamakan adabiyat syarak dari kepentingan organisasi agar maslahah dakwah tercapai.
,,,,,maluuu,,,,
fi ghurfati M214 iptaa
1208am, 19apr2011

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath Happy Birthday tickers